PUTRAJAYA, 23 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sasaran kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) RM56 bilion tahun ini mampu dicapai.
“Saya percaya, Insya-Allah sasaran kita, unjuran bagi tahun 2024 bukan saja dicapai, tapi kalau dapat diurus dengan seluruh semangat (seperti) yang ditunjukkan hari ini, luar biasa semangatnya, saya yakin kita akan melepasi sasaran,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42, di sini hari ini.
Tahun lepas, JKDM berjaya mengutip hasil RM55.1 bilion, melepasi sasaran RM53.5 bilion.
Menyifatkan kejayaan itu sebagai mencipta rekod untuk negara, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mezahirkan penghargaannya kepada seluruh pasukan JKDM.
“Kalaulah tidak ada peningkatan kecekapan, kalau dibiarkan ketirisan, boros dan membiarkan satu dua kelompok kecil memindahkan kekayaan untuk diri dan keluarga mereka, tak mungkin JKDM boleh catat satu perolehan kutipan yang membanggakan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bonus tahun ini untuk warga JKDM akan lebih baik berbanding sebelumnya.
Anwar berkata hasil kutipan JKDM bukan sahaja menambah hasil negara malah lebih daripada itu, ia memberi manfaat yang besar kepada rakyat dalam pelbagai lapisan masyarakat.
“Apa maknanya bila saudara (JKDM) dapat kumpul RM55.1 bilion (kutipan hasil tahun lepas), maknanya hasil negara bertambah dan kalau negara itu punyai pimpinan yang tegas, elak ketirisan, wang yang saudara kutip itu akan kembali kepada anak-anak di sekolah, ibu bapa yang dirawat di hospital dan prasarana lebih baik.
“Jadi tanggungjawab saudara mengutip dana (hasil), tanggungjawab semua jabatan lain memastikan dana (hasil) diurus dengan baik,” katanya.
Sebagai menghargai usaha warga JKDM yang menjadi antara tonggak ekonomi negara, Anwar mengumumkan peruntukan perumahan JKDM dinaikkan daripada RM20 juta kepada RM50 juta, dan kerajaan bersedia menambah peruntukan itu sekiranya ada keperluan.
Anwar berkata beliau juga telah mengarahkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Datuk Johan Mahmood Merican untuk mempercepatkan agihan peruntukan projek perumahan kuarters JKDM dan juga kemudahan-kemudahan asas yang lain. -TVS