SARIKEI, 23 Jan: Usaha membangunkan negara tidak hanya menjadi tanggungjawab kerajaan kerana rakyat pelbagai latar belakang turut memainkan peranan masing-masing untuk merealisasikan hasrat itu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Sri Huang Tiong Sii berkata, agenda besar itu memerlukan sokongan rakyat sekali gus merealisasikan konsep perpaduan dan seterusnya mewujudkan kesejahteraan yang berkekalan.
“Kita berdepan pelbagai cabaran, termasuklah situasi antarabangsa yang merangkumi wabak penyakit, ekonomi, politik, peperangan, bencana alam dan sebagainya.
“Kesemua ini memerlukan kita berdiri teguh untuk mendepani situasi yang bakal dihadapi. Kita juga perlu terus bersatu untuk menghadapi setiap cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sarikei, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Program dihadiri lebih 1,000 ahli parti termasuk ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong dan Sarikei.
Sementara itu Tiong Sii mahu seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama supaya serta mengelak diri daripada sebarang unsur negatif.
“(Kita juga perlu) berfikir secara lebih proaktif dan bergerak ke hadapan kerana mampu membantu kerajaan membawa negara ini ke satu era yang lebih baik untuk generasi akan datang,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau mengakui Sarawak di bawah pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari telah mengecapi kemajuan dan kemakmuran.
“(Kita) berpotensi mencapai matlamat untuk menjadi sebuah wilayah yang berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya. -TVS