LIMBANG, 20 Jan:Jalan dari Rangau, berhampiran Lapangan Terbang Limbang menuju ke Teluk Brunei di sini berpotensi sebagai sebuah destinasi pelancongan menarik di utara Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata kemajuan projek pembinaan jalan sepanjang tiga kilometer itu kini direkodkan siap sekitar 55 peratus.
“Saya berharaplah kerajaan negeri dapat melakukan penyambungan sejauh 600 meter hingga ke garisan pantai dibawah projek Jalan Rangau dari Lapangan Terbang Limbang hingga ke Teluk Brunei.
“Projek ini mampu dibangunkan sebagai satu lagi destinasi pelancongan untuk Limbang pada masa depan,” katanya ketika ditemui media pada lawatan kerja ke tapak projek Jalan Rangau hingga Teluk Brunei disini pada Sabtu.
Ahli Parlimen Limbang meyakini lokasi jalan berkenaan mempunyai tarikan pelancongan tersendiri kepada pengunjung berikutan mereka berpeluang menikmati keindahan pemandangan Teluk Brunei dan Jambatan di Daerah Temburong Brunei.
Beliau menambah kawasan tersebut juga akan dapat dibangunkan dengan pembukaan kedai, kawasan berjaja, inap desa dan mampu muncul sebagai destinasi menarik kepada pengunjung pada masa depan.
Pada masa ini katanya agensi pelaksana projek iaitu Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) sudah menghantar pelan kepada kerajaan bagi kerja penyambungan jalan sejauh 600 meter dengan kos lebih RM10 juta. -TVS