SAMARAHAN, 20 Jan: Penduduk di sini diingatkan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran masing-masing terutama di musim tengkujuh ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan Ebby Hirwandy Sarbini berkata keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini dengan hujan yang turun di sebelah petang akan memungkinkan bencana banjir berlaku.
“Semua penduduk kampung yang mendiami kawasan terdedah atau rendah dan mudah dinaiki air dinasihatkan agar berhati-hati dan memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan ataupun agensi-agensi penyelamat yang lain berkenaan dengan kedudukan (paras) air semasa.
“Kita (pihak bomba) telah bersedia menangani Monsun Timur laut ini daripada tahun lepas lagi selepas beberapa siri simulasi banjir yang telah kita adakan di Samarahan yang telah dianjurkan (oleh) Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama agensi-agensi penyelamat yang lain dimana didalam program tersebut kita telah menyampaikan dan menasihati (serta) cara-cara penyelamatan ketika berlaku banjir,” katanya.
Ebby Hirwandy berkata demikian kepada TVS selepas menyempurnakan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang larian H20 Fun Run anjuran pelajar tahun 2 program Pengurusan Seni dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, pada Sabtu.
Pada msa sama, Ebby juga mengingatkan agar penduduk di sini sentiasa bersiap siaga dengan mendapatkan maklumat berkaitan kenaikan paras air melalui beberapa portal informasi, antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Metorologi Malaysia (MET) dan sumber dari media sosial yang boleh dipercayai.
Terdahulu, seramai 100 peserta terdiri dari pelajar dan orang ramai menyertai larian sejauh 4 kilometer yang mengeliling Kampus Barat, UNIMAS itu.-TVS