SEREMBAN, 19 Jan: Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA hari ini menyalurkan bantuan kepada Penerbit Rancangan (penyelaras pentas) kontrak Jabatan Penyiaran, Khairul Anuar Kassim yang menderita Gluteal Tumor tahap empat sejak September lepas.
Khairul Anuar, 56, yang dikenali sebagai ‘Anuar Minang’ dalam kalangan kenalannya menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar di sini telah menjalani pembedahan bisul di bahagian pinggul dua kali sebelum didiagnosis dengan penyakit itu.
Bapa kepada seorang anak itu juga menghidap kencing manis dan darah tinggi dan kini sudah tidak bekerja sejak dimasukkan ke hospital.
Anak saudara Khairul Anuar, Syafaat Roslan, 26, yang mewakili keluarga itu berkata bantuan yang diberikan amat membantu dalam menyediakan pelbagai keperluan Khairul Anuar seperti lampin pakai buang untuk dewasa dan susu.
“Kami terkejut bila dapat tahu mengenai penyakitnya itu, dia seorang periang tetapi kini terlantar akibat penyakitnya itu. Isterinya juga tidak sihat, makcik menghidap tiroid dan penyakit saraf yang membataskan pergerakannya,” katanya ketika menerima kunjungan petugas Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Negeri Sembilan yang mewakili urus setia Tabung Kasih@HAWANA ke rumahnya, di perumahan rakyat Panchor, di sini.
Syafaat berkata ahli keluarga lain turut bersama-sama membantu memandangkan anak perempuan Khairul Anuar sedang menjalani latihan praktikal di Kuala Lumpur, namun dia kerap pulang bagi menjaga kedua ibu bapanya di rumah.
Adik Khairul Anuar, Mohd Najib Kassim, 43, berkata sejak abangnya sakit, dia mengambil alih tugas menguruskan keluarga, selain turut menjaga ibu berusia 84 tahun yang menghidap penyakit buah pinggang.
Mohd Najb turut berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Bernama atas inisiatif yang diambil, selain bersyukur apabila tidak perlu menunggu lama untuk menerima bantuan itu.
“Kami sangat sedih dengan keadaannya, dia abang sulung dan sangat mengambil berat tentang keluarga, saya akan terus berusaha menjaganya bersama adik beradik yang lain. Terima kasih semua pihak prihatin dengan nasibnya,” katanya. -TVS