MIRI, 19 Jan: Seorang pesara kerugian RM49,000 selepas menyerahkan semua maklumat perbankan kepada individu yang mengaku sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, warga emas berusia 60-an itu telah dimaklumkan oleh individu berkenaan bahawa kad kredit miliknya telah disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Pengadu membuat laporan polis selepas mendapati wang di dalam akaunnya telah dikeluarkan tanpa kebenarandirinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Alexson dalam pada itu memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Alexson menasihati masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan daripada individu yang tidak dikenali selain berwaspada dalam urusan melibatkan transaksi kewangan. -TVS