SERIAN, 19 Jan: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika ke kebun durian di Kampung Lanchang di sini, dijumpai meninggal dunia di rimbunan buluh tepi sungai.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata mayat Domenick David, 56, dijumpai Unit Pengesan K9 Bomba pada 9:50 pagi, hari ini.
“Anggaran jarak dari kampung ke tempat mangsa dijumpai dalam empat kilometer.
“Mangsa dibawa naik ke darat oleh pasukan SAR dan disah meninggal dunia oleh pihak polis yang berada di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian digerakkan ke lokasi mangsa hilang pagi ini bagi memulakan SAR hari pertama.
“Berdasarkan maklumat laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa, mangsa keluar rumah pergi ke kebun durian pada pagi 18 Jan di kawasan Mirabak berhampiran kawasan kampung,” katanya.