KUCHING, 19 Jan: AirAsia bakal mempertingkatkan kekerapan penerbangan laluan dariĀ Jakarta ke Kuching kepada setiap hari atau tujuh kali seminggu, dari tiga penerbangan seminggu bermula 8 Februari 2024.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata tempat duduk boleh ditempah untuk penerbangan segera dengan harga serendah Rp689.000 sehala dari Jakarta dan RM149 dari Kuching.
Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi airasia Superapp lan laman web airasia.com.
“Laluan Jakarta-Kuching yang dikendalikan AirAsia Indonesia telah mulai beroperasi 15 Jun 2023 lepas. Ia telah menjadi pilihan popular dalam kalangan penumpang dari kedua-dua kota raya, baik bagi warga Indonesia yang mengunjungi Kuching untuk menikmati keindahan alam semulajadi dan kekayaan warisan sejarah Sarawak, mahupun penumpang dari Sarawak untuk membeli-belah dan menikmati pengalaman kulinari di Jakarta,” katanya.
Sejak dilancarkan, laluan ini telah berjaya menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara rakyat di kedua-dua wilayah serta membuka peluang-peluang yang tidak terbatas dalam bidang pelancongan, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi.
Penambahan kekerapan penerbangan Jakarta-Kuching ini amat tepat pada masanya di ketika industri pelancongan kedua-dua negara mengalami fasa pemulihan yang pesat.
“Dengan kekerapan yang lebih tinggi ini, AirAsia menyediakan lebih banyak pilihan penerbangan dengan kadar tambang terjangkau untuk semua, membolehkan lebih ramai rakyat dari Jakarta dan Kuching mengunjungi kota masing-masing dengan lebih mudah dan selesa, baik untuk tujuan bercuti mahupun urusan perniagaan,” katanya. – TVS