KUCHING, 18 Jan: Kerajaan Sarawak akan membina enam menara di Masjid Jamek Negeri Sarawak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, rupa bentuk menara yang dicadangkan pembinaannya itu akan mirip menara di Masjid Nabawi, di Madinah, Arab Saudi.
Tanpa mendedahkan kos pembinaan, beliau berkata Masjid Jamek dipilih kerana lokasinya yang strategik iaitu di pusat pentadbiran kerajaan negeri.
“Masjid kita di Petra Jaya, di tengah-tengah nadi pemerintahan. Saya nak bina enam menara dan harganya boleh tahan,” katanya pada Wacana Perdana bersama Agensi-agensi Islam Sarawak di sini, malam ini.
Turut hadir isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.
Selain pembinaan menara masjid, Kerajaan Sarawak menerusi Majlis Islam Sarawak juga akan melaksanakan pelbagai program dan pembangunan infrastruktur untuk masyarakat beragama Islam.
Antaranya ialah Galeri Ibnu Khaldun, Pusat Jaringan Pintar dan Strategik Masjid Serantau (MNC) dan Pusat Falak.
Abang Johari berkata pembangunan dan kemajuan itu dilaksanakan berikutan peningkatan pendapatan negeri sebanyak RM13.3 bilion pada tahun lalu.
“Selagi rezeki kita ada, kita angkat semangat orang Islam dan secara tidak langsung martabat orang Islam dan perpaduan antara kita terjaga supaya kita dapat berkhidmat kepada orang Islam dan bukan islam,” katanya. – TVS