Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang murid menggunakan tandas yang telah dinaik taraf ketika tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan Serabak hari ini. Foto, Bernama.

SK Serabak,SK Ulu Durin Kiba antara sekolah luar bandar di Sarawak dapat tandas lebih baik

KUCHING, 18 Jan: Sekolah Kebangsaan (SK) Serabak dan SK Durin Kiba adalah antara sekolah di luar bandar Sarawak yang tidak terkecuali daripada mendapat kemudahan tandas yang lebih baik hasil inisiatif Kementerian Pendidikan bermula sejak Ogos lepas.

Terletak kira-kira 65 kilometer (km) dari bandar raya Kuching, SK Serabak berada agak jauh dari hiruk pikuk kota, dengan suasana semulajadinya tenang dan nyaman dalam daerah Bau, berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia di bahagian selatan Sarawak.

Sekolah ini hanya mempunyai 82 orang murid dan sebelum inisiatif kementerian ini bermula, keluhan tentang pili air rosak, tandas tidak dapat dipam ataupun pintu bilik tandas tidak dapat ditutup sering menjadi rungutan.

Namun keadaan mulai berubah sejak November lepas apabila kerja-kerja pembaikan kemudahan tandas di sekolah itu siap, sekali gus merubah persepsi dalam kalangan murid-muridnya setiap kali menggunakan kemudahan itu.

“Sebanyak lapan unit berjaya dibaik pulih, masing-masing tiga unit tandas untuk murid perempuan dan lelaki manakala dua unit lagi tandas untuk murid prasekolah. Dulu semua tandas cangkung dan tidak begitu sesuai dan selesa untuk kegunaan murid,” kata Guru Besar SK Serabak Phiong Kuik Fa kepada Bernama.

Phiong berkata sejak tandas baharu itu digunakan, perubahan sikap murid-murid SK Serabak amat ketara dan beliau amat berpuas hati dengan hasil kerja kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan itu.

“Mereka cepat menjalankan kerja. Semua tandas cangkung telah ditukarkan kepada tandas duduk dengan kelengkapan yang sesuai seperti bidet, cermin, pili air yang berfungsi dengan baik, untuk murid pra sekolah kita minta size mangkuk tandas yang lebih kecil,” katanya.

Menceritakan pengalamannya untuk menyelami reaksi murid-muridnya setelah mendapat kemudahan lebih baik itu, beliau berkata: “Pernah sekali saya ‘mengintai’ mereka senyap-senyap dari belakang dan bertanya kenapa semua beramai-ramai pergi tandas, sepantas kilat mereka jawap ‘tandas kita cantiklah cikgu’ jawab mereka dengan senyuman yang lebar”.

Seorang guru SK Serabak, Magdelina Joseph Nyadi berkata beliau masih teringat lagi selepas tandas baharu itu diumumkan sudah boleh digunakan pada perhimpunan pagi, semua murid berpusu-pusu hendak ke tandas.

Dalam suasana keterujaan murid-murid untuk menggunakan kemudahan yang telah diperbaiki itu, Magdelina berkata pihak sekolah terus-menerus mengingatkan mereka tentang nilai-nilai murni dalam aktiviti seharian serta menghargai kemudahan yang disediakan.

Bagi SK Ulu Durin Kiba (SKUDK) yang terletak 42km dari bandar Sibu di bahagian tengah Sarawak, projek tandas baharu sekolah tersebut siap dibina pada November tahun lepas.

Guru Besar SKUDK Gerard Bugin Legak berkata tandas baharu ini mempunyai lapan kubikel mulai dibina pada September dan beliau berpuas hati dengan pembinaan tandas itu dan berterima kasih kepada kerajaan kerana sekolah itu kini menikmati kemudahan yang jauh lebih baik berbanding tandas lama.

“Tandas lama ada 10 kubikel yang masing-masing keluasan lantainya adalah 1.2192 meterx0.9144 meter berbanding sekarang lapan kubikel yang mempunyai keluasan lantai 2.4384 meterx0.9144 meter setiap satu. Jadi setiap kubikel adalah luas dan selesa digunakan,” katanya.

Menurut beliau dua kubikel tandas duduk masing-masing untuk kegunaan petugas lelaki dan wanita, manakala dua kubikel dengan tandas duduk bersaiz kecil masing-masing untuk murid lelaki dan perempuan manakala masing-masing dua lagi kubikel tandas cangkung dikhaskan untuk murid lelaki dan perempuan.

Setiap kubikel dilengkapi dengan bidet penyembur, tingkap kecil bagi membolehkan pengaliran udara dan uniknya tandas ini adalah mangkuk duduk bersaiz kecil yang amat sesuai untuk kegunaan murid-murid sekolah rendah selain turut mempunyai dua sinki untuk mencuci tangan yang mudah alih dan juga cermin dinding.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum Dalaman SKUDK, Unjung Paong pula berkata bagi melatih murid untuk menghargai kemudahan ini, mereka sentiasa diingatkan tentang peranan untuk sama-sama menjaga kebersihan tandas dan tidak hanya menyerahkan kepada pekerja pencuci. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan