KUCHING, 18 Jan: Ahli Persatuan Anak Sarawak Melaka (PASM) diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang pergerakan politik yang boleh menggugat keamanan.
Pengerusinya, Dato Wan Zain Syed Mohdzar berkata, ini kerana persatuan itu mempunyai visi yang perlu dipatuhi selaras dengan usaha melindungi, mempertahan serta menjaga kebajikan anak-anak Sarawak di Melaka.
“Semua ahli-ahli PASM wajib menjauhi diri kepentingan peribadi serta tidak terlibat dalam gerak kerja politik,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan dan Majlis Makan Malam PASM di Melaka baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ahli Jawatankuasa Persatuan Anak-Anak Sabah Melaka (PASMA), Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Melaka (KDCA) Scholiska Chin Abdullah , Persatuan Pelajar UTEM Melaka dan Persatuan Pelajar Pentas Sunda Siswa Siswi UITM Kampus Jasin.
Sementara itu, Wan Zain berkata, pihaknya juga akan meneruskan usaha mempromosi PASM dalam kalangan perantau Sarawak di Melaka dan akan mewujudkan rangkaian kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Negeri Melaka.
“Kepentingan berpersatuan adalah untuk kebaikan bersama dalam bidang ekonomi, kebajikan, sosial budaya, kerja-kerja kemasyarakatan dan pendidikan. Ini adalah antara visi dan misi yang telah dan sedang kita laksanakan,” katanya.
Tambah beliau, PASM akan terus membuka pintu menerima permohonan daripada anak perantau Sarawak untuk menjadi ahli persatuan terutamanya pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA), kakitangan awam dan pekerja swasta yang berasal dari Sarawak. – TVS