KUCHING, 18 Jan: Juara tinju yang dibentuk di pusat tahanan khas.
Itulah gambaran mengenai kecemerlangan dua bekas pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG) Puncak Borneo yang mewakili Zon Selatan apabila meraih berjaya emas dalam kategori lelaki bawah 48 kilogram (kg) dan bawah 71 kg pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) 2023 malam tadi.
Clarkson Evans Toms Frankie, 19, yang baharu dibebaskan September tahun lalu mempamerkan aksi penuh bertenaga sejak pusingan pertama apabila berjaya menewaskan lawannya, Micheal Lim Vee Wen yang mewakili Zon Utara dengan kiraan mata dalam kategori bawah 48 kg.
Pemenang pingat perak kategori bawah 65 kg Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, Mohammad Rafieq Murshidi pula tidak berdepan masalah memenangi acara bawah 71 kg dengan menewaskan Maxkhender Ryan Depa Johshua yang mewakili Zon Utara menerusi kemenangan ‘refree stop contest’ sekali gus menyumbang satu lagi pingat emas buat kem tinju Zon Selatan.
Mohammad Rafieq yang sebelum ini menjuarai beberapa siri kejohanan tinju remaja kebangsaan dan diletakkan sebagai pilihan pertama dalam kategori itu menguasai perlawanan sejak pusingan pertama dengan melepaskan beberapa tumbukan deras ke arah muka lawannya yang memaksa pengadil memberikan RSC.
Menang emas tinju SUKSAR, Cherilynn mahu teruskan tumbukan padu pada SUKMA
Sementara itu, jurulatih kem tinju Zon Selatan, Helman Morni ketika dihubungi TVS menyifatkan kemenangan kedua atlet berkenaan mencapai sasaran yang ditetapkan sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk terpilih mewakili Sarawak pada SUKMA 2024 yang dijadual berlangsung pada Ogos depan.
“Ini merupakan penanda aras bagi kedua petinju ini untuk terus konsisten dalam kategori masing-masing.
“Selepas tamat SUK SAR 2023, mereka akan memberi fokus bagi menghadapi sesi pemilihan dan sebagai persediaan ke SUKMA nanti,” katanya ketika dihubungi TVS pada Rabu.
Beliau yang juga merupakan jurulatih tinju Sarawak berkata, peluang untuk setiap atlet beraksi pada SUKMA 2024 masih terbuka dengan pihak pengurusan masih dalam proses penilaian prestasi dari semasa ke semasa. – TVS