KUCHING, 18 Jan: Kerajaan Sarawak berhak menyemak semula kontrak rakan pelaksana projek jalan raya bagi memastikan kualiti kerja yang memuaskan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Richard Tajan berkata, setakat ini banyak hasil kerja berjaya disiapkan dengan baik namun masih terdapat projek belum mencapai tahap diinginkan.
Jelasnya, Sarawak mempunyai hak berbuat demikian membabitkan kontrak yang sudah mencapai tempoh tiga tahun bagi memastikan klausa baharu dapat dimasukkan untuk tujuan pemantauan serta kecekapan kerja rakan pelaksana.
“Saya menghargai kerja baik yang anda laksanakan masa ini tetapi ia masih belum mencapai tahap yang saya yang tetapkan.
“Setelah tiga tahun, kita berhak untuk menyemak semula kontrak dan salah satu perkara yang dilakukan ialah untuk meletakkan klausa memantau dan menilai prestasi anda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Malam Gala Penyelenggaraan Jalan Negeri di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Sementara itu jelas Richard, semakan semula kontrak itu juga penting bagi memastikan tanggungjawab rakan pelaksana dilakukan pada tahap yang diinginkan.
Ujarnya lagi, ini adalah salah satu kaedah baharu pihaknya untuk memastikan kualiti jalan raya di Sarawak berada di tahap yang tertinggi. -TVS