SIBU, 17 Jan: Kehadiran petinju legenda Bumi Kenyalang, Edris Bujang menyaksikan acara tinju pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) III 2023 di Stadium Tertutup Sibu hari ini menarik perhatian penonton.
Anak jati Sarawak pertama yang mewakili Malaysia pada Sukan Asia 1978 itu berkata, beliau teruja apabila pertandingan kali ini meriah dan berjaya melahirkan ramai atlet pelapis dalam sukan berkenaan.
Bertambah menarik katanya, pada masa ini terdapat banyak pusat latihan dan fasiliti sukan yang disediakan oleh kerajaan di setiap bahagian di Sarawak berbanding pada era kegemilangannya.
“Dahulu, hanya saya seorang petinju yang mewakili Sarawak. Saya masih ingat ketika sesi latihan, saya berlatih seorang diri tanpa jurulatih selama sembilan tahun bermula pada 1972,” katanya kepada TVS.
Bercerita lanjut, Edris berkata, sesi latihan ketika itu juga berbeza, apabila jurulatih hanya mengajar asas bertinju.
“Selebihnya bergantung kepada kemahiran yang dimiliki oleh atlet untuk mempraktikan apa yang telah diajar,” katanya lagi.
Edris juga pernah menjadi jurulatih tinju Sarawak pada 1994 dan 2000.
Ketika itu kontinjen Agi Idup Agi Ngelaban muncul juara dalam dua kategori tinju di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 1994 di Perak.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya seseorang atlet tinju mahu menjadi jurulatih, individu berkenaan perlu membuktikan kemampuan di gelanggang terlebih dahulu termasuk menjuarai beberapa pertandingan.
“Ini kerana pengalaman dan kejayaan mereka dapat dikongsi bersama pelatih muda,” katanya. -TVS