KUCHING, 17 Jan: Kerja-kerja pengubahsuaian Limbungan Brooke di tebing Sungai Sarawak menjadi Muzium Maritim Brooke Dockyard mencapai kemajuan 86 peratus dan dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak sebelum ini telah menyuntik dana sebanyak RM47 juta untuk menjayakan projek itu.
Kata beliau, dana berkenaan disalurkan menerusi Kementerian Pelancongan,Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
“Projek ini bukan sahaja melibatkan bangunan baharu tetapi juga pemuliharaan bangunan yang berusia lebih 100 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara itu, Abang Johari menambah, limbungan yang wujud sejak lebih 100 tahun lepas itu telah menjadi tapak warisan.
“(Sehubungan itu kawasan ini) perlu dibangunkan untuk tujuan lain kerana tiada lagi aktiviti membaiki kapal setelah operasi di dipindahkan ke Sejingkat.
“Apabila siap kelak, ini akan menjadi tempat riadah untuk orang awam,” tambah beliau.
Limbungan Brooke wujud sejak 1912 dan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk kapal-kapal yang melalui Sungai Sarawak. -TVS