KUCHING, 16 Jan: Lembaga Air Kuching (LAK) memberi jaminan bekalan air tidak akan terjejas meskipun berlaku kejadian paip utama pecah di Jalan Tun Jugah.
LAK berkata, insiden berkenaan dilaporkan pada 8 Januari lalu berhampiran jejambat BDC.
“Terdapat tiga saluran paip utama iaitu 450mm DI, 600mm MSCL dan paip AC 15 inci berserta kabel utiliti lain yang ditanam di sepanjang jalan itu.
“LAK telah menjalankan kerja pengasingan antara sambungan paip pada minggu lepas dan kini usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca paip rosak tanpa menjejaskan bekalan air kepada pengguna di BDC,” jelas agensi itu menerusi kenyataan media hari ini.
Ujar LAK, kerja-kerja pembaikan hanya akan dijalankan apabila saluran paip pecah telah dikenal pasti dan diasingkan.
Pada masa sama, LAK memaklukan mereka akan membekalkan air ke kawasan yang menghadapi tekanan air rendah melalui lori tangki air.
Pengguna juga dinasihatkan untuk menyimpan air bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Sebarang maklum balas atau pertanyaan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan LAK di talian 082-222333 atau SMS kepada 019-8866650. – TVS