SIBU, 16 Jan: Kontinjen Zon Barat menerusi kem pencak silat berhasrat memungut enam pingat emas pada Kejohanan SUKSAR Sibu 2023.
Jurulatih Pencak Silat Zon Barat, Wan Herman Wan Mohamad berkata sasaran itu dapat dicapai menerusi enam kategori akhir yang telah ditempah oleh anak-anak buahnya.
“Untuk esok terdapat enam atlet telah layak ke aksi akhir, Insya-Allah saya yakin pasukan kami dapat memenangi kesemua acara tersebut,” katanya.
Wan Herman berkata demikian pada Hari Kedua SUKSAR Sibu 2023 di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor di sini, hari ini.
Jurulatih muda berusia 26 tahun itu turut meluahkan rasa bangga dan syukur atas komitmen yang diberikan oleh anak-anak buahnya.
“Mereka dapat menerima arahan dan memberi kerjasama yang baik walaupun saya masih muda,” ujarnya.
Dalam pada itu menurut salah seorang atlet remaja wanita Zon Barat, Hasya Shaziya Satria yang akan beraksi bagi aksi akhir kategori E berkata, dirinya akan melakukan yang terbaik bagi mencipta sensasi untuk kejohanan SUKSAR pertamanya.
“Apa yang perlu saya lakukan mengekalkan stamina dan momentum dan bersedia dari segi ketahanan mental,” kata Hasya.
Hasya dijangka akan bertemu atlet dari Zon Utara bagi merebut kejuaran kategori E.
Untuk rekod, Zon Barat terdiri daripada bahagian Sarikei, Betong dan Sri Aman. -TVS