KANOWIT, 16 Jan: Klinik kesihatan dan hospital di kawasan luar bandar di Sarawak memerlukan lebih banyak perkhidmatan dialisis, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji keperluan menyediakan perkhidmatan itu di kawasan seperti Kanowit, Song dan Kapit berikutan jumlah pesakit yang ramai namun ia amat terhad dan sukar didapati.
“Tadi Yang Berhormat Allan Siden Gramong turut menyebut berkenaan keperluan unit dialisis yang tidak mencukupi di Kanowit, begitu juga di Song dan juga di Kapit.
“Sekarang kita sedang menilai bagaimana untuk kita memberikan ruang yang lebih besar kepada unit Dialisis yang sangat sesak dan juga selain daripada itu kita ingin lihat kesesuaian reka bentuk klinik untuk generasi baru di Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan ke Klinik Kesihatan Nanga Machan di Kanowit pada Isnin.
Sebelumnya, Lukaniman turut melawat beberapa buah klinik kesihatan dan Hospital di Kapit, Song dan Kanowit.
Menurutnya ia merupakan lawatan sempena jelajah keduanya di Sarawak berhubung klinik-klinik daif dan tahun lalu sebanyak 36 projek naik taraf telah dilaksanakan di Sarawak dibawah program Bitara Madani.
Dalam lawatan itu, beliau berkata KKM mengambil maklum akan perkara berbangkit yang diutarakan seperti keperluan aset yang mendesak di beberapa buah klinik kesihatan
“Bermula pada tahun 2024 dan 2025, KKM akan mengagihkan ambulan-ambulan jenis A dan B yang telah diluluskan pada belanjawan yang lepas.
“Selain daripada itu, isu lain adalah keperluan kuarters kediaman yang lebih baik. Ini akan membolehkan pegawai-pegawai perubatan dan juga kakitangan sokongan, jururawat dan pembantu perubatan mempunyai tempat kediaman yang selesa untuk memberikan perkhidmatan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, KKM juga menilai kekurangan tenaga kerja penjagaan kesihatan yang diperlukan terutama sekali berkait kekurangan pegawai perubatan, doktor-doktor pakar, dan juga jururawat.-TVS