LIMBANG, 15 Jan: Pembinaan Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Rangau Valley sebanyak 128 unit untuk menggantikan perumahan lama dua tingkat yang terbengkalai dijangka akan siap pada Januari 2025.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak, Abdul Yakub Arbi berkata, projek bernilai RM33.7 juta itu kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 46.5 peratus.
Jelas beliau, projek itu merupakan pendekatan terbaik yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak bagi mengatasi masalah perumahan RPR Rangau yang tidak terjual dan terbiar sejak lebih 10 tahun lalu.
“Kita akan memindahkan sebanyak 128 unit ke RMM Rangau Valley apabila siap kelak.
“Mereka yang terpilih hanya sambung pinjaman perumahan sebelum ini dan tidak dikenakan pembayaran lain, itu perancangan HDC, ” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak projek berkenaan di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian menambah, projek berkenaan berjalan mengikut jadual meskipun berdepan kekurangan pekerja dan masalah cuaca.
RMM Rangau Valley amat dinanti oleh penduduk sejak lebih 10 tahun memandangkan perumahan lama kini semakin usang.
Sementara itu Abdul Yakub memberitahu, HDC mempunyai perancangan untuk membina 50 unit Perumahan Mesra Rakyat (RMR) di Limbang.
Katanya projek RMR itu dicadang untuk dibina berhampiran Lapangan Terbang Limbang yang baharu. -TVS.