KUCHING, 14 Jan: Penduduk di Kampung Goebilt bakal menerima manfaat berikutan pelaksanaan projek pembinaan jalan baharu sebagai akses perhubungan mereka di situ.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abg Hipni berkata, projek itu dianggarkan bernilai RM510,000 melibatkan pembinaan jalan tar sepanjang 400 meter.
Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata, pelbagai pembesaran kawasan perumahan telah dilaksanakan selaras dengan misi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk melaksanakan transformasi pembangunan.
“Menerusi projek ini, penduduk Kampung Goebilt kini boleh menggunakan akses jalan raya untuk membina kediaman dan pengangkutan harian mereka,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Majlis penyerahakan projek itu oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang merupakan agensi perlaksana kepada kontraktor berlangsung baru – baru ini turut dihadiri oleh Dr Hazland.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Infrastruktur DBKU, Faisal Adenan. -TVS