KUALA LUMPUR, 14 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, malam tadi berlepas ke Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.
Anwar dalam catatan di laman Facebook memaklumkan lawatan itu bagi memenuhi undangan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ke Istiadat Persandingan Diraja Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anisha Rosnah Adam yang akan berlangsung hari ini.
Perdana Menteri turut memuat naik video membaca doa selamat sebelum menaiki pesawat bersama Wan Azizah.
Pada Khamis lepas, Abdul Mateen dan Dayang Anisha selamat bernikah di Masjid Omar Ali Saifuddien dan esok akan berlangsung Istiadat Persandingan Diraja di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan disusuli Istiadat Persantapan Diraja sempena meraikan kedua-dua pengantin diraja pada Isnin.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Bandar Seri Begawan. -TVS