KUCHING 13 Jan: Persepsi negatif terhadap pekerjaan melibatkan sektor pertanian perlu dihapus untuk membangunkan industri makanan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata persepsi sedemikian akan menghalang sesetengah pihak untuk melibatkan diri dalam bidang berkenaan sekali gus merencatkan pembangunan industri berkenaan.
“Untuk pelan jangka pendek kita tubuhkan agensi pembangunan dan berikan peruntukan. Untuk pelan jangka panjang, persepsi ‘petani itu miskin’ perlu diubah dan seperti mana saya cakap tadi kita perlu meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Townhall 7 Tahun Premier Sarawak, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu beliau turut menyifatkan Sarawak berpotensi untuk menjadi negeri yang berdikari antaranya dari segi penghasilan tanamanan beras tempatan yang sekaligus dilihat sebagai mengukuhkan lagi keterjaminan makanan Sarawak.
Sebelum ini Abang Johari memberitahu benih padi yang sedang diuji Sarawak mampu mengeluarkan hasil mencecah 240, 000 tan DNA tuaian itu dapat dicapai sekiranya benih dari Vietnam itu ditanam di kawasan seluas 100, 000 hektar.
Abang Johari menambah ia sekali gus mampu memenuhi keperluan dalam negara.
“Ini baru padi, belum lagi (tanaman) nanas dan sago. Kalau kita gunakan kaedah (penanaman) baharu, teknologi baharu serta menggunakan tenaga kita, saya rasa masa depan Sarawak adalah cerah,” kata beliau. – TVS