SRI AMAN, 13 Jan: Sesi dialog penduduk bersama agensi kerajaan penting bagi menjawab segala persoalan mengenai pembangunan yang bakal dilaksanakan di sesuatu kawasan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, sesi berkenaan juga boleh mengelakkan bantahan terhadap sesuatu projek yang sedang berjalan atau akan dilaksanakan.
Pada masa sama kata beliau, peranan agensi pelaksana juga amat penting untuk memberi penjelasan kepada masyarakat.
“Yang penting kita perlu faham mengenai sesuatu projek. (Hari ini) kita ada pegawai yang datang mewakili agensi terlibat (mendengar pendapat penduduk dan seterusnya menjawab persoalan) supaya penduduk di kampung Resak ini lebih faham,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Resak Bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Sarawak Multimedia Authority (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di sini hari ini.
Sesi berkenaan diadakan susulan bantahan penduduk berhubung projek pembinaan menara telekomunikasi di kampung itu.
Mereka bimbang menara itu akan membawa kesan sampingan termasuk mengeluarkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan.
Sementara itu, Francis Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, menerusi dialog berkenaan, agensi pelaksana akan lebih memahami kerisauan penduduk.
“Pada masa sama, pegawai terlibat boleh memberi penjelasan sewajarnya,” jelas beliau.
Berhubung keputusan sama ada untuk meneruskan projek itu, beliau memaklumkan, hasil dialog akan dibawa kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak untuk tindakan selanjutnya. -TVS