KUCHING, 13 Jan: Sarawak dijangka terus membangun tahun ini memandangkan kerajaan negeri menyasarkan untuk mengambil alih satu lagi entiti yang akan merancakkan sektor perniagaan dan keusahawanan.
Tanpa mendedahkan entiti terlibat, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pengambilalihan itu akan diumum dalam tempoh sebulan dua ini dan ia merupakan satu daripada tiga entiti utama yang akan menjadi milik penuh negeri tahun ini.
“Terdapat tiga perkara yang kita akan ambil alih pada 2024. Satu sudah (Pelabuhan Bintulu), yang kedua tunggu nanti saya bagi tahu dan yang ketiga sudah tentu, MASWings Sdn Bhd. Kemudian (selepas pengambi alihan), kita akan mempunyai keseluruhan sistem ekonomi untuk Sarawak,” katanya keada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2024, Abang Johari memberi bayangan bahawa kerajaan negeri sedang merancang untuk membantu perniagaan tempatan dan komuniti usahawan, serta menambah akan ada berita gembira buat mereka.
“… saya tak dapat umumkannya hari ini. Kita mesti mempunyai entiti strategik untuk kita berkembang maju. Dulu saya ada mohon untuk lesen bank digital (tetapi ditolak), jadi saya rasa ini satu rahmat untuk kita,” katanya.
Pada 2022, dilaporkan Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan tidak meluluskan permohonan Kerajaan Sarawak untuk memperoleh lesen bank digital. -TVS