KUCHING, 11 Jan: Dewi Remaja 2023, Nurelyana Baharin atau lebih mesra disapa sebagai Nurel menerima tawaran untuk bekerjasama dengan Astro.
Bagaimanapun anak jati kelahiran Bumi Kenyalang itu tidak mendedahkan dengan lebih lanjut apa antara projek yang bakal dilaksanakan.
“Sebenarnya kesemua Hero dan Dewi Remaja mendapat kontrak bersama pihak Astro, tetapi untuk berapa lama tempoh itu ia masih lagi dirahsiakan.
“Kita masih lagi berbincang apa projek tersebut. Kita tunggulah apa yang akan ditawarkan oleh mereka (Astro) nanti,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, malam ini.
Nurel, gadis cantik dari Sarawak dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2023
Mengulas lanjut, ketika ditanya sama ada projek berkenaan berkait rapat dengan dunia permodelan, Nurel berkata ia lebih kepada bidang lakonan dan pengacaraan.
“Pada dasarnya, ia adalah untuk lakonan dan pengacaraan,” katanya lagi.
Bersiaran sebanyak lapan episod, Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 menobatkan Nurel, 21, sebagai Dewi Remaja 2023.
Kemenangannya itu sekali gus mengetepikan saingan 10 peserta lain yang turut berentap di pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Disember lepas.
Hero dan Dewi masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 berserta sebuah trofi dan selempang. – TVS