KUCHING, 10 Jan: Pencalonan dokumentari ‘Guardians of the Shore’ di Festival Filem Eko Kuala Lumpur (KLEFF) ke-15 2023 menjadi platform untuk menyiarkan usaha yang dilakukan Sarawak dalam memelihara kelestarian hidupan marin.
Penerbitnya, Mark Nyambang menginginkan masyarakat luar melihat sendiri impak yang diperoleh daripada projek pelabuhan tukun bebola tiruan yang diperkenal Kerajaan Sarawak.
“Kami lihat dengan sendiri kesan projek tukun bebola tiruan ini, banyak tumbuhan dan hidupan marin yang mula hidup di kawasan tukun bebola itu.
“Saya berharap dokumentari ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai usaha Kerajaan Sarawak dan isu alam sekitar yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mark bersyukur terhadap dokumentari terbitan TVS itu telah dicalonkan sehingga ke peringkat akhir dan dirinya berbesar hati berada di barisan dokumentari dari luar negara.
Menurutnya, usaha melestarikan hidupan marin perlu dilaksanakan oleh semua pihak dan tidak hanya dilakukan oleh pihak kerajaan sahaja.
Sementara itu, mengulas mengenai proses pembikinan dokumentari itu, Mark memberitahu ketiadaan capaian internet mendai capaian terbesar pihaknya semasa berada di atas laut.
“Dari segi komunikasi, sukar untuk kita berhubung kerana tiada capaian internet.
“Kami juga perlu berhati-hati kerana berada di atas ‘landing craft’ yang membawa tukun bebola tiruan seberat satu tan. Apabila buat pengambaran perlu berhati-hati,” ujarnya.
Guardians of the Shore merupakan satu daripada 14 filem yang dicalonkan bagi kategori filem dokumentari panjang di KLEFF 2023 dan ialah produksi tunggal dari Malaysia tersenarai.
Dokumentari arahan Kayu Malam Production itu dicalonkan bersama dengan produksi dari China, Itali, Jerma, Rusia, Belgium, Amerika Syarikat, Kanada dan Perancis.
KLEFF 2023 akan diadakan di IWK Eco Park Pantai Dalam pada 17 dan 18 Februari ini. -TVS