JOHOR BAHRU, 11 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong hari ini menyaksikan detik bersejarah Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) secara simboliknya “disambungkan” antara Malaysia dan Singapura.
Penyambungan itu melibatkan penyempurnaan span, iaitu titik pertemuan jejambat marin projek tersebut antara Johor Bahru dan Singapura.
Ini merupakan kali pertama kedua-dua pemimpin tertinggi tersebut bertemu di tapak projek berkenaan, sekali gus menguatkan komitmen kedua-dua negara terhadap projek bernilai berbilion ringgit itu.
Semasa majlis berkenaan, Anwar dan Lee turut menandatangani plak yang secara simboliknya menunjukkan komitmen kedua-dua negara terhadap pembinaan projek tersebut yang kini sudah mencapai tahap kemajuan 65 peratus setakat 31 Dis lepas, seperti yang dijadualkan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Projek RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands North, Singapura.
Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, laluan RTS yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.
Projek tersebut dijangka membuka lembaran baharu perhubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang dibincangkan. -TVS