Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Aksi regu lelaki negara Cheng Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (kiri) ketika menentang regu Denmak Rasmus Kjaer dan Federik Sogaard pada kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena hari ini. Foto Bernama

Badminton: Aaron-Wooi Yik lalui detik cemas sebelum atasi Kjaer-Sogaard

ByBernama

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa melalui detik cemas sebelum bangkit mengatasi Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 20-22, 21-13, 21-13 pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 di sini, hari ini.

Kali pertama bertemu pasangan di kedudukan ke-22 dunia itu, Aaron-Wooi Yik menerima kejutan pada set pertama di hadapan penyokong sendiri di Axiata Arena, namun beregu nombor empat dunia tersebut berjaya bangkit pada set kedua untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Selepas saling mendahului sehingga keputusan 10-10 pada set ketiga, Aaron-Wooi Yik yang pernah muncul juara Kejohanan Dunia 2022, berjaya menemui formula untuk segera melengkapkan kemenangan ke atas Kjaer-Sogaard 20-22, 21-13, 21-13.

Pada pusingan kedua esok, Aaron-Wooi Yik akan bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang menewaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-17, 22-20 tadi, sekali gus mengesahkan sekurang-kurangnya satu wakil di suku akhir.

“Semasa set pertama, kami tidak selesa dengan permainan mereka tetapi nasib baik kami perlahan-lahan mengejar mata dan mengembalikan keyakinan dan rentak kami untuk menang,” kata Aaron kepada pemberita selepas aksi berkenaan.

Katanya, pertemuan dengan rakan senegara pada pusingan kedua adalah tidak mudah kerana saling berlatih bersama-sama dan mengenali corak permainan masing-masing.

“Tetapi sebagai rakyat Malaysia, siapa yang memasuki pusingan seterusnya adalah sama, jadi kami hanya berlawan sesama sendiri,” katanya.

Pada edisi 2023, Aaron-Wooi Yik tumbang di pusingan kedua di tangan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China, manakala Sze Fei-Nur Izzuddin disingkirkan oleh pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang, yang kemudian muncul naib juara.

Sementara itu, beregu campuran nombor sembilan dunia, Chen Tan Jie-Toh Ee Wei menyingkirkan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-17, 21-18 selepas pertarungan selama 47 minit.

Tan Jie berkata, beraksi di hadapan penyokong tuan rumah telah membakar semangat mereka untuk tampil aksi tajam untuk keluar gelanggang dengan senyuman pada kali ini, selepas tewas kepada pasangan Perancis itu pada separuh akhir Terbuka China 2023, September lepas.

“Hari ini kami lebih yakin dan berani di gelanggang dan pastinya sokongan padu penonton tempatan. Persiapan kami selama dua minggu ini membantu kita untuk tampil lebih baik pada musim baharu ini,” katanya.

Ee Wei berkata, apa yang diterapkan dalam latihan sebelum musim ini bermula telah membuahkan hasil, namun perlu ditingkatkan lagi.

Tan Jie-Ee Wei, yang mara sehingga suku akhir pada edisi tahun lepas, seterusnya akan bertemu  pemenang pertembungan antara Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat dan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan