LIMBANG,10 Jan: Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang mengendalikan sebanyak 38 kes sakit sepanjang tahun 2023, iaitu yang tertinggi dalam tempoh tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, sebanyak 151 kes keseluruhan direkodkan PKOD, Limbang dalam tempoh sama.
Katanya, kes menangkap ular menduduki tempat kedua dengan merekodkan 36 kes, diikuti lain-lain kes sebanyak 32 kes, kemalangan jalan raya pula mencatatkan 18 kes diikuti sebanyak 16 kes memusnah sarang serangga yang diterima tahun lepas.
“Sebanyak 151 kes yang diterima PKOD Limbang membabitkan 72 mangsa dan 146 panggilan sepanjang tahun lepas, kes sakit merupakan kes tertinggi yang kita rekodkan dalam tempoh tersebut di mana anggota kita mengendalikan kes sakit di kawasan luar bandar dan bandar.
“Mangsa yang sakit pada awalnya menerima rawatan awal daripada APM Limbang dan berjaya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Kata Mirwan lagi, kes lain yang diterima PKOD Limbang termasuk empat kes kebakaran, dua kes kemalangan tempat kerja dan satu kes mangsa lemas.
Katanya, pada masa ini APM Limbang mempunyai kekuatan aset sebuah lori, satu unit pacuan empat roda jenis pikap, van ambulans, empat buah bot penyelamat, sebuah kereta utiliti sukan (SUV) dan sebuah motosikal.
“Aset- aset ini penting untuk memperkasa aktiviti menyelamat kepada masyarakat ketika dilanda bencana seperti banjir dan sebagainya,” ujarnya. -TVS