KULIM, 10 Jan: Seorang pemandu lori diberkas polis bersama 10 ketulan mampat dipercaya ganja selepas melakukan serbuan ke atas sebuah kereta di Jalan Saujana Lunas di sini, Ahad lalu.
Serbuan kira-kira 5.20 petang itu membabitkan pasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang menahan kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta menemui ketulan mampat dibalut plastik yang di dalamnya mengandungi tumbuhan kering disyaki ganja seberat kira-kira 10.1 kilogram bernilai RM31,325.
“Suspek yang ditahan merupakan pemandu lori berumur 29 tahun yang mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau.
“Ujian saringan urin mendapati suspek negatif dadah dan dia direman seminggu sehingga 14 Januari depan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, dadah yang dirampas tersebut dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 2,021 orang penagih.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah. – TVS