Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin meninjau lokasi tragedi kebakaran di Batu 7, Kota Sentosa pagi tadi. Foto: FB SUPP Kota Sentosa

Segerakan laporan forensik kebakaran enam buah rumah kedai di Batu 7, Kota Sentosa – Wilfred

ByMuqri Aziz

KUCHING, 10 Jan: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak digesa menyegerakan laporan forensik kebakaran membabitkan enam buah rumah kedai di Batu 7, Kota Sentosa agar mangsa dapat membuat tuntutan insuran kedai masing-masing.

Perkara itu ditekankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin dalam satu hantaran di akaun Facebooknya hari ini.

“Saya telah menghubungi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datu Khiruddin Drahman untuk memohon agar laporan forensik punca kebakaran dapat disiapkan secepat mungkin bagi membolehkan mangsa pemilik kedai untuk tujuan pembersihan dan pemulihan serta membuat tuntutan insurans mereka.

“Saya juga telah menghubungi Lembaga Air Kuching (LAK) dan Sarawak Energy (SEB) untuk memastikan bekalan utiliti dapat dipulihkan secepat mungkin dan sebarang kerosakan pada paip dan wayar elektrik yang rosak akibat kebakaran akan dibaiki secepat mungkin,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Selain itu Wilfred juga berkongsi mangsa kebakaran juga akan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak untuk kelangsungan hidup mereka selepas tragedi itu.

Pada masa sama, Wilfred mendedahkan dirinya telah menghubungi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi mendapatkan tempat tinggal sementara waktu untuk mangsa kebakaran yang kini terpaksa berteduh di rumah rakan-rakan mereka.

Sementara menantikan laporan forensik punca kebakaran, beliau juga bersetuju untuk melantik RELA bagi mengawal premis yang terlibat dengan kebakaran itu.

“Bagi membantu dalam pelupusan serpihan yang terbakar, saya telah menghubungi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) untuk menyediakan tong roro secara percuma dan dua tong roro telah dihantar ke tapak kebakaran dan lebih banyak tong roro akan dihantar sekiranya kedua-dua tong berkenaan tidak mencukupi,” ujarnya.

Wilfred dalam pada itu menyeru pihak berkuasa yang berkaitan untuk bekerjasama dengan masyarakat untuk menitikberatkan kesedaran berkaitan keselamatan sekiranya berlaku kebakaran.

“Pastikan setiap isi rumah mempunyai satu alat pemadam api mudah alih, dan setiap premis perniagaan mempunyai peralatan memadam kebakaran yang diselenggara dengan baik dan dalam keadaan baik,” tegasnya.

Kejadian kebakaran pada petang Selasa itu telah mengorbankan seorang remaja lelaki berusia 12 tahun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

JBPM Sarawak mengesahkan laporan kecemasan mengenai kebakaran itu diterima pada 3.30 petang sejurus itu operasi melibatkan tiga pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, BBP Tabuan Jaya dan BBP Kota Samarahan melibatkan lebih 40 anggota penyelamat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan