KUALA LUMPUR, 10 Jan: Pemenang pingat perak perseorangan wanita Sukan Olimpik 2020 Tai Tzu Ying terkejut dengan sorakan gemuruh diterima daripada peminat tempatan semasa perlawanan pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 di sini hari ini.
Juara dari Taiwan itu yang sentiasa menjadi antara kegemaran peminat tuan rumah, menyatakan kegembiraannya dengan sokongan padu di Axiata Arena, memandangkan saingan kali ini mungkin penampilan terakhirnya pada Terbuka Malaysia.
“Saya sentiasa mendapat sokongan hebat setiap kali bermain di sini. Walaupun saya beraksi pada awal pagi ini, saya terkejut mendengar sorakan kuat daripada peminat yang bertenaga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di zon campuran.
Terdahulu, juara Terbuka Malaysia dua kali pada 2018 dan 2019 itu berjaya dalam pertarungan sengit menentang pemain Amerika Syarikat Beiwen Zhang, 23-21, 21-19 untuk menempah tempat dalam pusingan kedua.
Pemain pilihan keempat itu akan bertemu wakil Thailand Busanan Ongbamruphan yang bangkit daripada ketinggalan bagi menewaskan Gao Fang Jie dari China, 17-21, 22-20, 21-10.
Sementara itu, Tzu Ying berkata adalah penting buatnya kekal bebas daripada kecederaan sepanjang tahun ini kerana beliau berhasrat membina momentum menjelang Sukan Olimpik terakhirnya di Paris, Julai ini.
“Prestasi saya pada separuh kedua tahun lepas tidak begitu baik, saya mengalami kecederaan dan terpaksa akur dengan jadual ketat yang menjejaskan keadaan tubuh saya. Tahun ini, saya hanya ingin berada dalam keadaan terbaik,” katanya.
Pemain nombor empat dunia itu juga berkata acara perseorangan wanita menjadi semakin kompetitif dan terbuka luas setiap tahun.
Justeru, pemain berusia 29 tahun itu berjanji akan berusaha lebih keras untuk mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain terbaik dunia sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada badminton.
Pada April tahun lepas, Tzu Ying mengumumkan bahawa beliau akan bersara pada hujung tahun depan, menggambarkan keinginannya untuk berehat selepas menghabiskan lebih dua dekad di gelanggang.