Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Universiti Teknologi Petronas (UTP) melancarkan satu inisiatif baharu berorientasikan kemasyarakatan, khusus bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi komuniti peribumi di Lawas, Sarawak. Foto: UTP

UTP bina hubungan strategik untuk tingkat keupayaan komuniti Peribumi Sarawak

ByBernama

KUALA LUMPUR, 10 Jan: Universiti Teknologi Petronas (UTP) melancarkan satu inisiatif baharu berorientasikan kemasyarakatan, khusus bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi komuniti peribumi di Lawas, Sarawak.

Dikenali sebagai program inovasi sosial akar umbi atau ‘Towards Uplifting Lives Programme’ (TULiP), inisiatif ini dipimpin oleh Centre of Sociasl Innovation (CoSI) UTP di bawah Institute of Self-sustainable Building (ISB), dan dibiayai bersama oleh Petronas, Yayasan Hasanah dan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) UTP.

UTP dalam kenyataan berkata CoSI bekerjasama rapat dengan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan PEDULI INSAN untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat peribumi itu menerusi pembangunan kemahiran dan latihan, agar mampu menawarkan pembangunan kebolehkerjaan dan keupayaan keusahawanan untuk penciptaan pendapatan.

Pengarah ISB UTP dan Ketua TULiP, Prof Dr Shahrina Md Nordin berkata TULiP mewakili komitmen universiti untuk memupuk perubahan positif dalam komuniti, selain percaya kepada kuasa transformasi pendidikan dan peningkatan keupayaan.

“Melalui kerjasama dengan rakan kongsi ini, kami berhasrat untuk menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi lestari komuniti berkenaan.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen UTP terhadap pembangunan komuniti, TULiP berfungsi sebagai platform untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran, secara aktif menyumbang kepada peningkatan status sosioekonomi komuniti,” katanya dan menambah inisiatif ini selari dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat universiti yang lebih luas.

Shahrina berkata produk signature khusus telah dibangunkan berdasarkan kepada kekuatan dan minat komuniti, dengan pendekatan pembangunan menyeluruh yang merangkumi penciptaan nilai bersama, pembentukan ideas, perancangan perniagaan, pembinaan tapak pengeluaran, latihan teknikal, pengeluaran, penjenamaan, pemasaran dan jualan.

“Sehingga kini, produk signature khusus seperti Beras Adan dan biji kopi Arabika sudah berada di pasaran melalui platform Shopee, dan laman webnya dengan jenama yang diberikan oleh komuniti adalah LINAWA, yang mewakili kekayaan budaya suku Lun Bawang,” katanya.

Shahrina juga berkata UTP telah membentuk kolaborasi strategik dengan MARDI untuk bekerjasama dalam pembangunan salah satu produk inovatif yang diformulasikan kopi Arabika, yang dicampur dengan Beras Adan jenis hitam.

“Produk inovatif akar umbi baharu ini telah dibawa ke makmal MARDI dan kepada orang ramai untuk dicuba, dan responden mengesahkan aromanya yang harum dan rasanya yang lazat. MARDI juga mengesahkan kandungan antioksidan dan nutrisinya yang tinggi,” tambahnya.

Shahrina berkata penciptaan nilai bersama telah memberi kesan kepada petani tempatan yang menghasilkan kopi Arabika dan tiga varieti beras Adan, yakni Adan hitam, Adan merah, dan Adan putih.

“Projek ini selari dengan beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), terutamanya berkaitan kepelbagaian dan inklusiviti, sifar kemiskinan, sifar kelaparan, kesihatan dan kesejahteraan yang baik, pendidikan berkualiti, kesaksamaan gender, pengurangan ketidaksetaraan, pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang baik,” katanya.

“Program ini telah memberikan impak yang ketara, terutama memberi manfaat kepada penduduk kampung sepanjang Paip Gas Sabah-Sarawak Petronas, dari Kampung Long Sukang, Punang Berayong ke Long Luping, Sarawak, dengan para peserta telah mengalami peningkatan dalam status sosioekonomi mereka,” katanya.

Ahli lembaga Koperasi Usahasama Long Sukang, pengendali hasil dan petani juga telah mengalami peningkatan pendapatan kira-kira 20 peratus dan ia menyumbang kepada pembasmian kemiskinan dan pengurangan ketidaksetaraan.
Untuk maklumat lanjut mengenai LINAWA, lawati www.linawa.com.my. Produk LINAWA boleh dibeli di shopee.com.my/linawahq. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan