Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain boling Sarawak, Nur Hazirah Ramli bakal membawa cabaran Malaysia pada Piala Remaja Dunia IBF di Peru. Foto, Faitullah Morni (TVS).

Pemain boling Sarawak bakal terbang ke Peru, buru impian bergelar juara remaja dunia

ByNazirah Adlina

KUCHING, 10 Jan: Pemain boling remaja kebangsaan, Nur Hazirah Ramli berazam untuk mencipta kejutan pada penampilan pertamanya di Piala Dunia Remaja International Bowling Federation (IBF) di Lima, Peru, bermula 19 Januari ini.

Atlet berasal dari Kuching, Sarawak itu berkata, ketika ini dia sedang giat menjalani latihan terakhir dengan tumpuan diberikan kepada aspek taktikal dan ketahanan mental.

Kata Nur Hazirah, ini penting bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berlainan di Amerika Selatan itu.

“Sebenarnya saya berasa teruja serta tidak sabar untuk bertarung menentang pemain boling remaja terbaik dari seluruh dunia pada kejohanan itu.

“Sudah tentu kejohanan berkenaan akan memberi pengalaman baharu dalam karier saya sebagai pemain boling,” katanya ketika dihubungi TVS.

Kejohanan Piala Dunia Remaja IBF akan berlangsung di Pusat Boling Videna of La Villa Deportiva Nacional, Lima.

Setakat ini 25 negara mengesahkan penyertaan termasuk Amerika Syarikat, Brazil, Colombia, Filipina, Mexico, Hong Kong, Jerman, Sweden dan Singapura.

Sementara itu, Nur Hazirah juga Juara Master Remaja Bawah 21 Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Thailand 2023 tanpa berselindung mengakui dia mahu muncul juara pada kejohanan itu.

“Namun untuk mencapai hasrat berkenaan, saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya ketika kejohanan berlangsung,” katanya.

Berhubung perancangan lain, Nur Hazirah yang diserapkan ke dalam skuad remaja kebangsaan tahun lepas berkata, dia juga ingin membarisi skuad elit negara.

“Saya menyasarkan tempoh dua tahun untuk disenaraikan dalam skuad utama,” katanya.

Selain kejohanan di Peru, Nur Hazirah berkata, dia juga akan pulang ke Sarawak pada Ogos ini untuk mewakili Bumi Kenyalang pada Sukan Malaysia (SUKMA). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan