GEORGE TOWN, 9 Jan: Pulau Pinang bersedia menghadapi masalah bekalan air di kebanyakan kawasan di seluruh negeri selama empat hari atau 96 jam bermula jam 6 pagi esok.
Gangguan bekalan air berjadual itu ekoran keputusan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) bagi penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth yang merupakan LRA terbesar dan terpenting di negeri ini bagi tujuan penyelenggaraan.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan berkata, penutupan itu akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual yang menjejaskan kira-kira 590,000 pengguna di Seberang Perai dan bahagian pulau.
“Sebanyak 99 lori tangki air termasuk 27 lori tangki jumbo berkapasiti 40,000 liter (l) sedia membekalkan 1.8 juta liter air sehari kepada kepada pengguna yang terjejas.
“Lori-lori tangki ini akan mengisi dan mengisi semula 97 unit tangki air statik termasuk 19 tangki fleksi gajah berkapasiti 24,000 dan ratusan tangki statik tambahan yang disediakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gangguan bekalan air tersebut berlaku berikutan kerja-kerja bagi menggantikan dua injap kawalan kebocoran di LRA Sungai Dua dan menyiapkan projek kerja air dan penyelenggaraan pencegahan di 22 lokasi lain.
Kerja-kerja berkenaan dibuat berikutan beberapa bahagian paip tidak pernah diganti sejak 50 tahun lalu.
Kawasan yang dijangka terjejas adalah kebanyakan kawasan di Seberang Perai, manakala di bahagian pulau ialah Pulau Tikus, George Town, Jelutong, Gelugor, Bukit Jambul, Relau, Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Maung, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.
Hanya kawasan Air Itam, Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang tidak terjejas kerana kawasan itu mendapat bekalan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.
Sementara itu, rata-rata penduduk di negeri ini telah membuat persediaan dengan menyimpan bekalan air di rumah termasuk membeli bekas-bekas air bersaiz besar.
“Saya keluarkan semua bekas di rumah dan membeli bekas baharu untuk mengisi air paip bagi kegunaan empat hari.
“Cuma saya tidak terlalu risau kerana pihak berwajib telah membuat persiapan dan rancangan awal dengan menyediakan tangki-tangki simpanan air kepada orang ramai,” kata penduduk yang mahu dikenali sebagai Khairul, 34, kepada TVS.
Dalam pada itu, Pengerusi Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Teong Li, berkata, kira-kira 1,000 kilang terutamanya dalam kategori perusahaan kecil dan sedarhana (PKS) membuat keputusan menghentikan operasi dalam tempoh gangguan tersebut. – TVS