KUALA LUMPUR, 8 Jan: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan dana sebanyak RM1.2 juta kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam pendidikan dan latihan bagi menambah baik keupayaan penyiasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam memerangi ancaman dadah dan bahan psikoaktif baharu (NPS) di Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dana itu digunakan untuk sewa beli instrumen makmal bagi meningkatkan keupayaan menjalankan kajian penyelidikan berkaitan dadah dan NPS secara menyeluruh.
“Penyelidikan bersama UKM itu melibatkan tujuh aspek antaranya perincian sebatian aktif untuk menentukan bahan kimia digunakan dalam menghasilkan dadah bagi membolehkan polis bekerjasama dengan Lembaga Racun untuk rangka prosedur operasi standard (SOP) atau undang-undang baharu kawal ketat bahan kimia itu.
“Kajian ini juga mengenal pasti bahan-bahan kimia yang boleh mendorong pengguna dadah menjadi lebih ganas kerana hampir 60 peratus penagih terlibat jenayah kekerasan dan harta benda,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama UKM di Bukit Aman, di sini hari ini.
Beliau berkata kerjasama strategik itu turut melaksanakan kajian dan penyelidikan berkaitan penentuan kadar dos ketagihan bagi menentukan kadar minimum dos yang boleh mendorong penagih ketagih dadah selain selain menentukan proses rawatan dan pemulihan mereka kelak.
Selain itu, Ayob berkata kerjasama strategik itu juga akan menjalankan penyelidikan penjejakan molekul asal dadah bagi menentukan jenis dadah yang memudahkan penyiasatan pihak polis, selain akan membangunkan pangkalan dadah forensik NPS untuk rujukan agensi penguatkuasaan di Malaysia dan Asia Tenggara dengan menempatkannya di makmal forensik Kuala Lumpur.
Menurut Ayob, PDRM dan UKM turut bekerjasama menghasilkan ‘strip’ ujian jenis elektrod biosensor yang lebih berkualiti serta kajian bagi menentukan kepekatan sisa dadah di loji rawatan kumbahan berikutan kebanyakan makmal berada di tempat sukar diakses.
“Kami juga akan melaksanakan kursus jangka pendek dan setakat ini melibatkan lapan pegawai, seorang berpangkat ASP dan tujuh Inspektor. Mereka akan mengikuti enam kursus jangka panjang dan dua sijil profesional untuk memantapkan lagi siasatan dan juga operasi terhadap sindiket dadah,” katanya.
Terdahulu, Ayob menyampaikan replika cek dana RM1.2 juta kepada Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman. -TVS