KUCHING, 8 Jan: Sarawak menyertai konvensyen anjuran Professional Convention Management Association (PCMA) bagi mempromosikan wilayah ini sebagai lokasi penganjuran acara perniagaan di peringkat global.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau mengetuai delegasi Sarawak yang terdiri daripada 29 rakan industri pada acara itu yang bermula semalam hingga Rabu ini di San Diego, California, Amerika Syarikat.
Abdul Karim berkata, konvensyen yang bertemakan ‘Think Bigger’ itu dijangka dapat meningkatkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan unggul di rantau ini.
“PCMA merupakan salah satu rakan kongsi antarabangsa Sarawak yang penting.
“Kita berhasrat untuk meneroka pasaran baharu melibatkan 7,000 ahli PCMA di acara ini (sekali gus) mencipta peluang baharu untuk Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Business Event Sarawak (BESarawak) Amelia Roziman berkata, konvensyen ini juga merupakan peluang keemasan bagi Sarawak untuk mempelajari strategi benua lain terutamanya Amerika Utara memacu kesan warisan berdasarkan acara perniagaan mereka.
Pada masa sama ujar beliau, Sarawak serius untuk mengembangkan peranannya sebagai destinasi bagi industri acara perniagaan.
“Kami berharap dapat belajar daripada PCMA untuk mewujudkan industri yang mampan dan berkembang maju seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Induk Legacy Impact (Legacy MAP) 2023-2025 dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” ujarnya.
Delegasi Sarawak ke negara berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting dan wakil dari Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Jabatan Muzium Sarawak dan Duta Legasi Acara Perniagaan, Datu Dr Lulie Melling dari Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI). -TVS