MELAKA, 8 Jan: Harimau bengal putih yang berada di bawah jagaan Zoo Melaka di sini diberi makanan yang cukup serta mengikut diet disarankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata bagaimanapun harimau berkenaan yang diberi nama Elsa mempunyai masalah kesihatan sejak dilahirkan kerana ia dibiakkan di dalam keluarga yang sama.
“Kami menerima Elsa pada 2019 dengan berat badannya sekitar 50 kilogram (kg) dan berjaya ditingkatkan kepada 70 kg ketika ini. Menjaga Elsa seperti jaga bayi kecil kerana ia mempunyai masalah kesihatan sejak lahir seperti ada masalah tulang punggung, tulang belakang serta rahang.
“(Elsa) nak makan susahlah sebenarnya…Bila kita tahu dia ada masalah pada kesihatan, masalah pemakanan pun susah, dia jadi macam nak kena jaga bayi kecil, makan nak kena bersuap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Berikutan itu doktor veterinar yang ditugaskan menjaga Elsa mengaturkan diet dan rutin baharu bagi haiwan berkenaan agar ia mampu hidup berdikari.
Sapiah berkata ketika ini Elsa perlu makan dengan sendiri dan hanya disuap oleh penjaganya apabila diperlukan sahaja selain turut dilepaskan di kandang terbuka bagi membantu proses pemulihannya.
“Alhamdulillah Elsa dah boleh belajar makan sendiri walaupun dia hanya makan 80 peratus daripada jumlah makanan yang diberikan iaitu 5kg ayam setiap hari.
“Kalau harimau sihat dia akan makan 5 ke 7 kg (daging) tapi dia makan 3 ke 4 kg sehari. Jika ini berlaku penjaganya akan bantu Elsa makan dengan menyuap harimau tersebut. Berat ideal bagi Elsa yang kini berumur 7 tahun adalah sekitar 100kg,” katanya.
Justeru Sapiah menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa zoo berkenaan tidak mengambil berat dan mengabaikan kesihatan serta  aspek pemakanan haiwan di pusat konservasi tersebut.
Katanya pengurusan Zoo Melaka akan meletakkan papan tanda di kandang harimau terbabit memaklumkan haiwan berkenaan mempunyai masalah kesihatan agar pengunjung lebih memahami keadaan Elsa selepas ini.
Sebelum ini tular sebuah video di lama sosial TikTok yang mendakwa harimau bengal putih tersebut terlalu kurus kerana tidak diberi makan dan pengendali akaun meminta agar ia dilepaskan di habitat asal. -TVS