Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Paras air di Bandar Kota Tinggi akibat limpahan air Sungai Johor ketika tinjauan hari ini.Foto, Bernama.

Banjir: Kota Tinggi ‘lumpuh’, jalan utama ditenggelami air

ByBernama

KOTA TINGGI, 8 Jan: Hujan berterusan dan air pasang penuh menyebabkan aktiviti di pusat bandar Kota Tinggi “lumpuh” dengan kebanyakan jalan utama masuk ke pusat bandar itu ditenggelami air sehingga paras dada setakat 12 tengah hari tadi.

Tinjauan Bernama menggunakan bot mendapati air naik setinggi 1.5 meter di Jalan Indah, Jalan Jaafar, Jalan Niaga Utama, Jalan Johor dekat Arked Mara, Taman Kota Mas dan Jalan Tambatan.

Jumlah mangsa banjir di Johor, Pahang meningkat tengah hari ini

Selain itu, Jalan Semanggar menuju ke Sekolah Menengah Jalan Tun Habab tidak boleh dilalui berikutan arus air deras selain Jalan Tun Sri Lanang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana ditenggelami air sedalam 0.6 meter dengan jarak sejauh 650 meter.

Turut dinaiki air ialah Sekolah Agama Bandar dan Sekolah Kebangsaan Bandar dan cuaca pada masa ini mulai hujan.

Ketika ini, pelbagai agensi termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat bertungkus lumus menyelamatkan mangsa kerana ada segelintir besar yang terperangkap di dalam premis kedai.

Di Taman Kemang dekat sini pula, penduduk terpaksa bergelap selama beberapa jam sebelum dapat diselamatkan oleh agensi keselamatan.

Noordiyana Zakaria, 33, berkata dia bersama ibunya berusia 60-an, kakaknya, 36, dan anaknya berumur lima tahun antara yang terperangkap di dalam kediaman ekoran air naik mendadak sejak malam tadi.

Dia sekeluarga hanya sempat menjamah roti dan makanan segera sebagai alas perut sebelum diselamatkan pasukan penyelamat pagi tadi.

“Ada pasukan penyelamat datang untuk keluarkan ibu saya semalam, tetapi ketika itu saya keluar ke Bandar Kota Tinggi atas urusan penting. Ibu mahu menunggu saya pulang untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya tiba di rumah 20 minit kemudian, ketika itu, kawasan di sekitar Kampung Kelantan telah pun dinaiki air sehingga paras paha. Kami keluar sebab risau, air tidak menunjukkan tanda surut dan semakin naik, masa tinggalkan rumah tadi, paras air di luar rumah sudah paras dada,” katanya kepada pemberita selepas operasi menyelamat mangsa banjir di sekitar daerah ini.

Sementara itu, seorang pesara Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Ahmad Sujang mengakui kenaikan air banjir kali ini lebih pantas dan deras berbanding kejadian banjir pada Mac tahun lepas.

“Air naik terlalu laju bermula petang semalam. Dalam tempoh masa tiga jam sahaja, air sudah masuk ke dalam rumah.

“Kali ini banjir lagi teruk berbanding awal tahun lepas, kalau dahulu kami sempat naikkan, selamatkan barang apa yang penting tetapi kini barang elektrik semua tidak dapat diselamatkan, saya fikir untuk selamatkan nyawa sahaja,” kata warga emas itu.

Setakat 1 tengah hari, mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 7,959 orang yang ditempatkan di 53 PPS berbanding 6,564 orang di 51 PPS yang direkodkan pada 8 pagi tadi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan