KUCHING, 8 Jan: Kerajaan Sarawak mempunyai hala tuju yang jelas dalam agenda pendigitalan, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau berkata Kerajaan Sarawak mempunyai rancangan agar warganya tidak ketinggalan dalam era digital.
“Saya lihat di Sarawak di bawah pimpinan Premier, hala tuju adalah sangat jelas dari segi apa yang nak dicapai tahun mendatang dan bagaimana ingin memastikan negeri ini tak tinggal dari sudut pndigitalan dan bergerak ke depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Digital kini dalam proses berjumpa dengan semua kerajaan negeri bagi mendapatkan maklum balas berhubung situasi sektor digital di negeri masing-masing.
Gobind berkata perjumpaan ini juga adalah untuk memastikan matlamat sektor digital yang sedia ada di semua negeri dapat diselaraskan dengan hala tuju kementerian yang akan diumumkan selewatnya-lewatnya Mei ini.
“Kementerian Digital mengadakan lawatan ke setiap negeri bagi mendapatkan pandangan serta hasrat berkenaan hala tuju proses pendigitalan negeri masing-masing, kemudiannya bawa ke peringkat kementerian.
Terdahulu, dalam sesi kunjungan hormat itu kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai matlamat serta cabaran Sarawak dalam mendepani dunia digital selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dibangunkan kerajaan negeri.