KUCHING, 8 Jan: Sarawak wajar membangunkan institut sukan sendiri bagi melahirkan atlet yang berjaya pada Sukan Olimpik.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, Sarawak boleh mencontohi Australia yang menubuhkan Institut Sukan Australia (AIS) yang telah menyumbang pelbagai kejayaan sukan kepada negara itu.
Kata Dr. Sim, AIS mempunyai kakitangan profesional serta berpengalaman luas dalam sains sukan dan perubatan sukan.
“Sarawak akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini, (menjadi harapan agar) kita bukan sekadar menaik taraf kemudahan dan menang banyak pingat tetapi mengambil peluang untuk menubuhkan institut sukan seperi AIS,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Jelas Dr. Sim kejayaan AIS terbukti apabila negara itu yang mempunyai rakyat yang lebih sedikit berbanding Malaysia telah meraih banyak pingat emas dalam Sukan Olimpik.
Berdasarkan rekod, negara kangaroo itu mempunyai penduduk seramai 26.6 juta dan setakat ini mereka telah menang 164 pingat emas pada temasya berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, setakat ini prestasi atlet Sarawak juga cemerlang apabila meraih banyak pingat emas pada SUKMA serta pelbagai kejohanan lain walaupun tidak memiliki institut sukan sendiri.
“Bayangkan kalau kita ada sebuah institut sukan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Sim turut menyeru agar lebih ramai atlet Bumiputera menyertai sukan bola keranjang di Sarawak.
Kata beliau, semangat dalam sukan berpasukan seperti bola keranjang, bola tampar dan lain-lain merupakan asas penting dalam pembinaan sebuah negeri. -TVS