Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi hari ini. Foto Bernama

Agong zahir sukacita pelbagai kejayaan, prestasi tinggi ATM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat sukacita dengan pelbagai kejayaan dan prestasi tinggi yang dipamerkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perkara itu dizahirkan Al-Sultan Abdullah yang juga Pemerintah Tertinggi ATM ketika bertitah pada Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih sempena tamat pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Al-Sultan Abdullah bertitah sejak penubuhannya, ATM menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara, dengan warga ATM sentiasa gagah perkasa tanpa mengira masa, cuaca serta kesenangan peribadi untuk membelah samudera, merentasi ruang angkasa dan mengharungi hutan belantara, sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

Baginda bertitah ketika negara dibelenggu pandemik COVID-19 dan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang ketat, warga ATM berjuang di barisan hadapan bagi menentukan struktur pentadbiran dan keselamatan negara masih berdiri kukuh tanpa diganggu-gugat.

“Begitu juga pada saban kali bencana melanda, ATM adalah antara agensi yang pertama tiba menghulurkan bantuan demi untuk membantu rakyat jelata daripada musibah yang melanda,” titah baginda.

“Di persada antarabangsa pula, ketumbukan ATM sentiasa gagah berbakti bersama tentera dari negara lain dalam pelbagai misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pujian dan penghormatan terhadap keupayaan ATM ketika berkhidmat bersama angkatan tentera asing jelas menggambarkan bahawa ATM telah berjaya mengorak langkah daripada sebuah angkatan melawan insurgensi kepada sebuah angkatan konvensional yang boleh diatur gerak dalam pelbagai dimensi, teater dan domain penugasan,” titah baginda.

Melangkah ke hadapan, Al-Sultan Abdullah mahu barisan kepimpinan ATM terus meningkatkan aspek pemerintahan dan kawalan serta nilai profesionalisme agar angkatan keramat itu akan terus kekal lestari sebagai benteng utama pertahanan negara.

Titah baginda, ATM hendaklah terus diperkasa agar ia sejajar dengan matlamat negara membentuk sebuah angkatan masa hadapan yang berkeupayaan untuk melindungi kedaulatan negara dan pada masa sama dapat menangani cabaran geopolitik dunia yang kompleks.

Justeru, aspirasi ke arah pembentukan sebuah ATM masa hadapan yang yang boleh dipercayai dan berkeupayaan tinggi wajar dijadikan sebagai satu agenda nasional, titah Al-Sultan Abdullah.

Dalam masa sama, Seri Paduka menitahkan agar aspek kebajikan serta kesejahteraan warga ATM turut diberi tumpuan di samping pembentukan modal insan yang berkualiti tinggi merupakan tunjang utama dalam mendukung aspirasi angkatan masa hadapan.

Titah baginda, semua itu boleh dicapai menerusi sinergi kerjasama erat antara kerajaan, masyarakat secara keseluruhan dan ATM.

“Lantaran itu, ATM perlu bersedia dan bersikap terbuka untuk melalui proses transformasi bagi mewujudkan landskap kerjasama merentasi agensi demi mencapai satu matlamat dan satu objektif untuk negara tercinta.

“Hakikatnya, angkatan masa hadapan yang bakal dibentuk kelak merupakan jaminan dalam menentukan kedaulatan negara akan sentiasa terpelihara dan bumi yang bertuah ini akan dapat diwarisi oleh generasi masa hadapan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan atas kesetiaan tinggi dan segala khidmat bakti yang telah dicurahkan seluruh warga ATM sepanjang baginda menjadi Pemerintah Tertinggi ATM.

Titah Al-Sultan Abdullah, baginda dan Raja Permaisuri juga amat menghargai seluruh ahli keluarga yang memberikan dukungan dan turut berkorban demi mengizinkan orang yang dikasihi untuk berbakti kepada negara.

“Sesungguhnya berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan kedaulatan dan kesejahteraan negara adalah tugas mulia yang wajar disanjung tinggi oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Tugas ini telah dijulang dengan penuh kemuliaan oleh para veteran ATM yang telah terlebih dahulu menyahut panggilan pertiwi. Justeru, beta turut ingin menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi beta kepada seluruh veteran ATM,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri juga mendoakan agar Malaysia terus di bawah rahmat Allah yang berpanjangan dan perlindungan yang berkekalan buat perwira dan serikandi bangsa yang gagah menabur jasa demi negara tercinta. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan