KEMPEN mengibarkan bendera putih jika terputus bekalan makanan mendapat perhatian ramai di media sosial sejak semalam.
Usaha kempen tersebut adalah mencadangkan kepada golongan yang berada dalam keadaan terdesak mengibarkan ‘kain putih’ sebagai simbolik menunjukkan mereka memerlukan bantuan daripada masyarakat setempat.
Antara yang tertarik dengan usaha tersebut adalah HIKMAH SARAWAK, iaitu satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak.
“Itu sesuatu yang bagus disebabkan kita tidak tahu jika seseorang itu memerlukan bantuan.Jadi, Dengan adanya simbol bendera putih di luar rumah, kita dapat tahu dan dalam masa yang sama dapat menghulurkan bantuan. Walaupun itu hanya simbol semata-mata tetapi kita (HIKMAH)tetap akan membantu mereka seperti yang lain juga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH Sarawak, Haji Alwi Bin Haji Morshidi ketika ditemubual pemberita TVS hari ini.
Tambah Haji Alwi, jika ada antara mereka yang mengibarkan bendera putih memerlukan keperluan lain selain makanan, mereka akan mencuba untuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Bagi saya itu (bendera putih) sesuatu yang bagus,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan keperluan asas, susu dan pampers kepada penduduk Kampung Sri Maimunah, Jalan Sungai Apong Baru.
Sumbangan untuk program tersebut turut disalurkan oleh Baitulmal dan Grab Jenazah Free.