KUCHING, 7 Jan: Batik Air Malaysia akan menawarkan laluan penerbangan baharu dari Kuala Lumpur (KL) ke Sibu yang dijangka beroperasi pada 8 Februari depan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri semasa lawatan kerja oleh kementeriannya ke ibu pejabat syarikat berkenaan di Kuala Lumpur pada 28 Disember lalu.
Kata Kim Shin, penerbangan KL– Sibu dijadual akan beroperasi dua kali sehari.
“Penerbangan pertama berlepas dari Sibu pada 10.25 pagi dan penerbangan kedua 9.40 malam,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Kim Shin berkata, ketika ini hanya terdapat dua syarikat penerbangan beroperasi dari Kuala Lumpur ke Sibu iaitu AirAsia dengan 20 penerbangan setiap minggu dan Malaysia Airlines dengan 10 penerbangan setiap minggu.
Berkenaan lawatan kerja berkenaan, beliau berkata, ia bertujuan untuk menjalinkan hubungan rapat dengan pengurusan Batik Air Malaysia serta menyokong kehadiran dan kemampanan syarikat berkenaan di Sarawak.
Dalam pada itu, Kim Shin juga meminta Batik Air mempertimbangkan laluan KL-Miri-KL berikutan peningkatan aktiviti perniagaan minyak dan gas di bandar raya itu.
“Ini susulan Shell Malaysia memindahkan ibu pejabatnya ke Miri di samping permulaan aktiviti penggerudian oleh kontraktor Petros,” tambahnya. -TVS