SIBU, 5 Jan: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan mempergiatkan aktiviti turun padang mendekati masyarakat setempat sekali gus berusaha menyelesaikan isu yang membelenggu mereka.
Pengerusinya, Sempurai Petrus Ngelai berkata antara isu berbangkit adalah permasalahan longkang, jalan, dan penternakan ayam belakang rumah.
“Tahun ini, 2024, kita berharap kita dapat mengurangkan isu ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengagihkan kalendar MDLBS bagi tahun 2024 di Pasar Tamu Sibu Jaya pada Jumaat.
Tambahnya lagi aktiviti turun padang berupaya mengeratkan perhubungan dengan orang ramai sekali gus membendung kekerapan berlakunya isu-isu yang menjadi viral di media sosial.
“Dengan perkembangan media sosial, isu-isu boleh cepat menjadi viral. Kami menggalakkan masyarakat berkomunikasi dengan ahli-ahli majlis kami sebelum masalah bertambah serius dan menjadi viral,” katanya.
Manakala menyentuh mengenai program tersebut, Sempurai berkata bahawa ia berfungsi untuk memperkenalkan ahli-ahli majlis, khususnya 14 orang kaunselor yang baru dilantik.
Nama-nama dan nombor telefon ahli-ahli majlis turut disertakan di dalam kalendar tersebut dan dikategorikan mengikut zon, untuk memudahkan penduduk bagi menghubungi wakil-wakil mereka. -TVS