KUCHING, 2 Jan: Tiada sebarang penemuan mayat atau rangka manusia dijumpai dalam perut buaya yang berjaya ditangkap di Lorong 2C Samariang Aman di sini, jam 10.30 malam tadi.
Menurut Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam satu kenyataan di laman facebook rasminya, bedah siasat telah dijalankan oleh pakar dari SFC.
“Proses bedah siasat oleh pakar dari SFC hari ini telah menemui plastik sampah, sampah sarap dan sisa haiwan termasuk ayam yang digunakan sebagai umpan di dalam perut buaya berkenaan.
“Buaya jantan itu dianggar sepanjang 3.3 meter dengan anggaran berat 250 kilogram,” katanya.
Sehubungan itu, pihak SFC sekali lagi menyeru semua komuniti yang tinggal berhampiran sungai untuk tidak menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah kerana ia akan mengundang kehadiran buaya di kawasan tersebut. – TVS