KUALA LUMPUR, 31 Dis: MYAirline telah memaklumkan pelanggannya kemungkinan wujudnya penipuan yang berkaitan dengan bayaran balik yang belum selesai.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan, kami menasihatkan mereka untuk berhati-hati bagi mencegah sebarang aktiviti penipuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
MYAirline berkata, terdapat laporan baru-baru ini mengenai individu yang mendakwa secara palsu sebagai wakil kepada syarikat penerbangan itu, menghubungi pelanggan yang menunggu bayaran balik untuk tempahan penerbangan mereka.
Penipu ini menggunakan pelbagai taktik, termasuk panggilan telefon, e-mel atau mesej di platform media sosial bagi memperdaya pelanggan supaya memberikan maklumat peribadi atau membuat pembayaran dengan alasan palsu.
“Untuk melindungi daripada kemungkinan penipuan, kami menasihati pelanggan kami agar mengesahkan sumber apabila menerima komunikasi mengenai bayaran balik.
“Semak alamat e-mel rasmi atau nombor hubungan yang dikaitkan dengan MYAirline. Komunikasi rasmi daripada kami adalah daripada domain myairline.my,” katanya.
Syarikat penerbangan itu menasihatkan mereka yang menemui sebarang hubungan yang mencurigakan atau tingkah laku penipuan supaya melaporkannya dengan segera kepada saluran sokongan pelanggan rasmi MYAirline atau pihak berkuasa berkaitan.
“Bagi bantuan lanjut atau pertanyaan mengenai bayaran balik atau sebarang kebimbangan, pelanggan digalakkan untuk menghubungi saluran perkhidmatan pelanggan rasmi MYAirline melalui customercare@myairline.my atau bercakap dengan kami melalui +603 8966 2522,” tambah syarikat penerbangan yang bermasalah itu. – TVS