KUCHING, 30 Dis: Gelaran juara Dewi Remaja 2023 akhirnya menjadi milik gadis dari Kuching, Nurelyana Baharin yang dinobatkan menerusi pentas akhir pertandingan itu pada malam tadi.
Gadis berusia 21 tahun yang lebih mesra disapa sebagai Nurel membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 beserta sebuah trofi.
“Sejujujurnya saya tidak menyangka kerana saingan yang ada pada malam ini semuanya kuat-kuat belaka.
“Kerana semuanya ada bakat tersendiri. Jadi, saya memang tidak menjangka yang saya akan diangkat sebagai juara Dewi Remaja 2023,” katanya dipetik menerusi portal Remaja.
Kemenangan Nurel itu juga sekali gus mengetepikan lima finalis.
Aktif dalam bidang tarian, Nurel yang merupakan anak bongsu dari empat adik-beradik merupakan seorang pelajar jurusan Persembahan Teater di UiTM Puncak Perdana.
“Gadis kelahiran Sarawak ini memiliki keluarga yang amat mengambil berat perihal pelajarannya agar tidak terabai biarpun minat menjurus ke arah dunia persembahan.
“Mudah mesra dengan orang di sekeliling, Nurel ingin menjadikan pengalaman sekali seumur hidup ini sebagai pembuka laluan untuknya serius sebagai seorang anak seni,” demikian catatan Remaja. – TVS