KUCHING, 30 Dec: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal mengumumkan nama tiang bendera tertinggi Malaysia pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2024, malam esok, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Abdul Karim berkata, tiang bendera itu bukan sahaja merupakan yang tertinggi seumpamanya di Malaysia, malah bakal dijadikan antara monument ikonik bagi Bandaraya Kuching yang dilihat mampu menjadi tarikan pengunjung atau pelancong domestik serta luar negara.
“(Tiang) bendera itu bukan setakat tiang bendera sahaja. Ia merupakan sebahagian daripada projek dataran baharu tersebut. Pada pendapat saya, biar Premier Sarawak yang umumkan nanti. Nama tiang itu dan juga nama dataran baharu itu kelak,” kata beliau.
Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui oleh media ketika di raptai Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024, di sini, semalam.
Sementara itu bercakap mengenai persiapan sambutan ambang tahun, beliau memberitahu persiapan berjalan dengan lancar.
Katanya, beliau amat menghargai usaha jawatankuasa, artis jemputan serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung demi menjayakan acara itu yang akan berlansung pada 31 december nanti.
“Jadi harapan saya kepada warga Kuching, warga Samarahan, Bau, Lundu, Sematan, datanglah beramai-ramai ke Tebingan Kuching untuk kita memeriahkan suasana tukar tahun kita dan selain daripada itu kita sama-sama berdoa cuacanya baik (di hari sambutan),” ujarnya.
Pengunjung sambutan akan dihiburkan dengan persembahan pelbagai artis jemputan antaranya Dato Amy Search, Datuk Zainal Abidin, Hael Husaini, Kumpulan Floor 88 dan Kumpulan De Fam.
Lagi menarik, pengunjung turut berpeluang menyaksikan perasmian tiang bendera tertinggi Malaysia yang akan disempurnakan oleh Premier Sarawak selain bersama-sama menyertai acara ‘countdown’ tahun baharu 2024. – TVS