PULAU BRUIT, 28 Dis: Bertujuan membantu ibu bapa menjimatkan masa dan kos menggunting rambut anak-anak sebelum sekolah dibuka semula, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop menganjurkan Program Gunting Percuma Kembali ke Sekolah.
ADUN Semop Datuk Abdullah Saidol berkata program itu membabitkan lebih 400 pelajar sekolah dan kanak-kanak tadika di kawasan DUN Semop yang menggunakan khidmat 13 tukang gunting dari belia Saberkas dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Semop.“Ini adalah aktiviti tahunan semasa cuti sekolah hasil kerjasama Pusat Khidmat N42 Semop dengan warga belia dari pergerakan Saberkas dan Pemuda PBB Cawangan Semop.
“Program ini juga adalah platform untuk memberi peluang kepada para belia dalam DUN Semop agar terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat,” katanya.
Kesanggupan dan kesungguhan warga muda dalam aktiviti sosial ini adalah manifestasi warga belia setempat bahawa peranan mereka semakin relevan dan prihatin dalam kerja-kerja pembangunan masyarakat.
Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) turut meluangkan masa meninjau program berkenaan di Dewan Masyarakat Kampung Tekajong dan lokasi-lokasi lain di sini pada Rabu.
Selain tukang gunting, 10 sukarelawan belia turut membantu mengurus persediaan dan kedatangan pelajar di setiap destinasi gunting rambut.
Program tiga hari bermula 27 hingga 29 Disember itu diadakan di 21 destinasi kampung dan rumah panjang.
“Saya sentiasa bersedia menyokong setiap aktiviti-aktiviti warga belia desa yang berbilang kaum ini kerana mereka ingin terlibat dalam pelbagai aspek pembangunan desa dan membina masyarakat desa yang produktif dan progresif.
“Dalam masa yang sama, memperkukuhkan persefahaman, kerjasama dan perpaduam kaum,” katanya. – TVS